Tuesday, July 22, 2008

Membilang Zikir Adalah Suatu Disiplin

Katakanlah (wahai Muhammad): "
(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;
dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".

- Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Nabi s.‘a.w bersabda: Sesiapa yang membaca: “Qulhuwallahu ahad...” pada setiap hari, pasti dihapuskan dosanya 50 puluh tahun melainkan jika ia menanggung hutang.

Wahai Tuhanku, limpahkanlah rahmat kesejahteraan ke atas junjungan kami,
Nabi Muhammad dan seluruh keluarga junjungan kami, Nabi Muhammad;
sebagaimana telah Engkau limpahkan rahmat kesejahteraan kepada junjungan kami,
Nabi Ibrahim dan kepada keluarga junjungan kami, Nabi Ibrahim.
Dan limpahkan keberkatan terhadap junjungan kami,
Nabi Muhammad dan terhadap keluarga junjungan kami, Nabi Muhammad;
sebagaimana telah Engkau limpahkan keberkatan kepada junjungan kami,
Nabi Ibrahim dan keluarga junjungan kami Nabi Ibrahim;
di kalangan penghuni seluruh alam semesta.
Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Mulia.
- Diriwayatkan daripada Abu Darda’ r.‘a. katanya: Rasulullah s.‘a.w. bersabda: “Sesiapa berselawat ke atasku waktu pagi sepuluh kali, dan waktu petang sepuluh kali, ia akan mendapat syafaatku pada hari kiamat nanti.” (Riwayat al-Tabaraniy).

Maha Suci Allah, dan segala puji bagi Allah.
Tidak ada Tuhan melainkan Allah. Allah Maha Besar.

- Diriwayatkan daripada Amr bin Syu‘aib daripada bapanya bahawa datuknya r.‘a. berkata: Rasulullah s.‘a.w. bersabda: “Sesiapa bertasbih seratus kali pada waktu pagi dan seratus kali pada waktu petang, ia diumpamakan seperti orang yang mengerja haji seratus kali. Sesiapa mengucapkan alhamdulillah seratus kali pada waktu pagi dan seratus kali pada waktu petang, ia adalah seperti orang yang menyediakan seratus ekor kuda dalam perang di jalan Allah; atau sabda baginda: … ia bagaikan orang yang berperang seratus kali. Sesiapa bertahlil (mengucapkan lailaha illallah) seratus kali pada waktu pagi dan seratus kali pada waktu petang, ia adalah seperti orang yang memerdekakan seratus hamba daripada keturunan Ismail. Sesiapa bertakbir (mengucapkan Allahuakbar) seratus kali ketika pagi dan seratus kali ketika petang, maka tiada siapa yang lebih banyak berzikir daripadanya pada hari itu, kecuali orang yang berzikir sepertinya atau lebih banyak. (Riwayat al-Tirmiziy, menurut beliau hadis ini dinilai Hasan. Al-Nasa’iy juga meriwayatkan seumpamanya).

- Diriwayatkan daripada Ummu Hani’ r.‘a. bahawa Rasulullah s.‘a.w. bersabda kepadanya: “Wahai Ummu Hani’, apabila pagi, hendaklah engkau bertasbih seratus kali, bertahlil seratus kali, bertahmid (mengucap alhamdulillah) seratus kali dan bertakbir seratus kali, kerana sesungguhnya seratus tasbih bagaikan seratus ekor unta yang engkau korbankan dan seratus tahlil menghapuskan dosa sebelum dan selepasnya.” (Riwayat al-Tabaraniy).

Tidak ada tuhan selain Allah, Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya,
bagiNya segala kerajaan dan puji. Dialah yang menghidupkan dan mematikan.
Allah berkuasa terhadap segala-galanya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.‘a.w bersabda: Sesiapa yang membaca: “Tidak ada tuhan selain Allah, Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya, bagiNya segala kerajaan dan puji. Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Allah berkuasa terhadap segala-galanya;” sehari 100 kali, ia mendapat ganjaran memerdekakan 10 orang hamba, ditulis baginya 100 kebaikan, dihapuskan daripadanya 100 kejahatan, dan ia mendapat perlindungan daripada syaitan pada hari itu sehinggalah waktu petang. Tiada siapa yang membawa sesuatu yang lebih afdhal daripadanya melainkan seseorang yang beramal lebih daripada itu. (Sunan al-Tirmiziy).

- Diriwayatkan daripada Abu Aiyub r.‘a. bahawa Nabi s.‘a.w. bersabda: “Sesiapa membaca pada waktu pagi: ”Tidak ada tuhan selain Allah, Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya, bagiNya segala kerajaan dan puji. Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Allah berkuasa terhadap segala-galanya;” sebanyak sepuluh kali, Allah menulis untuknya setiap satu yang dibacakan itu sepuluh kebajikan, menghapuskan daripadanya sepuluh kejahatan dan mengangkatnya sepuluh darjat. Semua itu adalah seperti memerdekakan sepuluh orang hamba. Ia juga menjadi senjata dari awal hari sehingga kepenghujungnya. Sebarang perbuatan lain tidak dapat menandinginya. Jika ia membacanya pada waktu petang, maka begitulah juga kelebihannya.” (Riwayat Ahmad, al-Tabaraniy, Sa‘id bin Mansur dan imam-imam hadis yang lain).

“Maha suci Allah yang maha agung dan segala puji-pujian baginya.”
(Kami memahasucikan Allah daripada segala kekurangan sambil memujiNya)
- Diriwayatkan daripada Abu Hurairah katanya: Sabda Rasulullah s.‘a.w: “Sesiapa yang menyebut pada waktu pagi: “Maha suci Allah yang maha agung dan segala puji-pujian baginya;” seratus kali, juga pada waktu petang, tiada mana-mana makhluk yang membawa bahagian disempurnakannya lebih baik daripada bahagian yang ia perolehi.” (Sunan Abu Daud).
- Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.‘a.w bersabda: “Sesiapa yang menyebut: “Maha suci Allah yang maha agung dan segala puji-pujian baginya.” seratus kali sehari, pasti dihapuskan daripadanya 100 kesalahan, sekalipun sebanyak buah di lautan. (Sahih al-Bukhari, Muwatto’).


Wahai Tuhanku, ampunkanlah daku, terimalah taubatku,
sesungguhnya Engkau maha penerima taubat dan maha penyayang.

- Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar katanya: Kami membilang untuk Rasulullah s.‘a.w dalam satu majlis sebanyak seratus kali: “Wahai Tuhanku, ampunkanlah daku, terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima taubat dan Maha Penyayang.”(Sunan Abu Daud).



Tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan Allah

- Diriwayat daripada Abu Aiyub al-Ansori bahawa Nabi s.‘a.w bersabda: “Wahai Abu Aiyub, tidakkah kamu mahu, aku ajarkan kamu kalimah daripada khazanah syurga?” Aku menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah, demi bapaku dan ibu sebagai tebusan untukmu.” Sabda Rasulullah s.‘a.w Perbanyakkan sebutan: “Tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan Allah;” ia adalah khazanah syurga.” (Mu‘jam al-Tabarani al-Kabir, Sahih Ibn Hibban).

- Diriwayatkan daripada Abu Zar: “Kekasihku Rasulullah s.`a.w berpesan kepadaku dengan beberapa ciri kebaikan:· Pandang orang yang di bawahku dan tidak pandang orang yang di atasku;· Mengasihi dan mendampingi golongan miskin;· Menjalin hubungan persaudaraan sekalipun mereka menyisihkan aku;· Tidak mempedulikan celaan orang yang mencela demi kerana Allah;· Menyatakan kebenaran sekalipun pahit;· Memperbanyakkan menyebut: “Tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan Allah;” ia adalah daripada khazanah syurga.”(Al-Targhib wa al-Tarhib. Dinilai Sahih).

No comments: